Semua yang terjadi, bukanlah salah anxiety.
Aku tidak akan menyalahkan ia atas setiap kehilangan, segala kelukaan dan patah hati yang dirasai.
Kerana aku tahu, ia sudah menjadi sebahagian daripada diri, untuk beberapa tempoh yang hanya Allah sahaja yang tahu.
Setelah aku didiagnos dengan Generalized Anxiety Disorder dan Panic Attack, aku cuba cari apa sahaja support group yang ada di Facebook, dengan harapan boleh belajar dan mengenali lebih lagi tentang keadaan diri aku.
Bila kita ada penyakit yang paling banyak stigma masyarakat kepadanya, ternyata bukan mudah untuk aku open up kepada sesiapa tentang penyakit aku ini.
Lepas sebulan baru aku open up tentang sakit aku ini kepada orang lain. Walaupun dialah orang aku paling percayai dan ceritakan segala masalah.
Dan beliau telah memperkenalkan aku pada someone yang telah berjaya mengawal penyakit ini, tanpa sebarang ubat mahupun bantuan daripada pakar. Bukan aku menolak untuk berjumpa doktor mahupun pakar psikiatri, tetapi ada sebab tersendiri untuk tidak ke sana.
Seseorang itu, nama penanya VirginRose VR.
Perkara pertama yang aku belajar daripada beliau ialah tentang Acceptance atau Penerimaan.
Senang cerita, REDHA.
Dan dari situ, aku mula belajar untuk menerima keadaan diri aku.
Aku perlu belajar menerima kala panik menyerang.
Menerima ketika sempitnya nafas, ketarnya tangan, lajunya debaran jantung.
Menerima yang ada kala malam-malam yang berlalu di mana belum sempat aku terlena, mentari sudah muncul tiba.
Aku perlu belajar menerima cara mindaku memproses maklumat. Di mana semuanya kuanggap bagaikan bahaya. Semua benda aku risaukan walaupun benda yang remeh.
Aku perlu belajar menerima atas imaginasi imaginasi liar seperti teruknya cara kematian, baik diriku ataupun insan yang aku sayangi.
Aku perlu belajar menerima jika ada hari hari yang kurasakan kelam. Di mana aku tidak mampu berbuat apa melainkan termenung ke siling, berbaring, tidak mampu mengangkat diri. Di mana hari itu, bangkitnya aku dari katil dan keluarnya aku dari bilik adalah satu pencapaian yang membanggakan.
Aku perlu belajar menerima ada ketikanya hanya kegelapan yang aku lihat, tidak mampu melihat cahaya meskipun dalam suasana yang terang benderang.
Aku perlu belajar menerima ketika hari aku merasa berat untuk ke tempat kerja. Tempat kerja yang membuatkan aku gelisah dan takut. Serik dan risau. Aku perlu menerima jika hari hari aku tidak mampu memberi tumpuan kepada kerja dek serabutnya otak memikirkan perkara yang tidak perlu.
Aku perlu belajar menerima segala perasaan perasaan takut kehilangan, takut ditinggalkan, susah hati bahawa diri menjadi beban bagi orang lain. Menerima perasaan bukan bukan tentang orang yang aku sayangi. Di mana aku rasa dia merasa susah dan terpaksa melayan aku dsb. Bukan niat untuk bersangka-sangka, tetapi aku tidak mampu menolak fikiran fikiran itu untuk datang.
Aku perlu belajar menerima.
Menerima dan redha akan setiap ketentuan, keadaan yang datang kepadaku, keadaan baik atau buruk.
Jauh sekali di sudut hati aku inginkan ia pergi, tapi aku sedar, ia akan menjadi rakan sepanjang hayatku. Di mana aku hanya perlu mengawalnya.
Untuk melakukan semua ini, ternyata aku tidak ada daya.
Tetapi, tiada daya yang lebih kuat melainkan kekuatanNya.
Maka aku sekadar insan lemah, yang menumpang kekuatan dariNya.
La hawla wa la quwwata illa billah.
No comments:
Post a Comment